Tuesday, May 27, 2008

Percuma Untuk Ketua Team Candat

Seronok mencandat ni... Bagi siapa yang telah biasa dengan aktiviti mencabar ini, dia akan teruja dengan aktiviti ini.

Ada saja kesempatan turun ke laut, dia tidak akan lepaskan peluang keemasan itu untuk berbuat demikian.

Saya sendiri telah biasa dengan aktiviti ini kerana saya sudah biasa dengan kehidupan laut sebab kampung saya Chendering adalah kampung pelaut.

Saya sekarang dalam proses menghantar satu team ke destinasi menarik lubuk sotong di sekitar Pulau Kapas tengah bulan depan.

Saya menawarkan pengecualian bayaran kepada mereka yang berjaya membawa sekurang-kurangnya lapan (8) orang untuk ekspedisi kali ini bagi Pakej 2.

Sila hubungi saya melalui e-mail dan talian hand phone yang tertera di blog ini untuk keterangan dan tindakan lanjut.

Monday, May 26, 2008

Mari Meriahkan Pesta Candat Sotong

Antara April hingga Ogos setiap tahun adalah waktu gerombolan sotong berkampung di perairan Terengganu khususnya di sekitar Pulau Redang dan Pulau Kapas serta pulau-pulau lain.

Spesis yang gemarkan lampu kalimantan ini, berkumpul di lubuk-lubuk tertentu untuk mengawan dan bertelur, menjadikan insiden ini menjadi aktiviti menangkap sotong yang dikenali sebagai 'mencandat sotong' sebagai satu pesta meriah di kalangan nelayan dan penduduk tempatan.

Bahkan ia semakin popular di kalangan pelancong dalam dan luar negeri. Pelbagai kegiatan dan acara mencandat sotong diatur oleh agensi kerajaan dan swasta untuk merancakkan lagi aktiviti pelancongan di negeri ini.

Saya sebagai anak kelahiran perkampungan nelayan Chendering, Kuala Terengganu, diizinkan Tuhan amat menggemari aktiviti ini.

Boleh dikatakan setiap tahun saya menyertai rombongan untuk turun ke laut bagi merasai keseronokan pesta ini.

Baru-baru ini saya telah menyertai rombongan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tunggal, Dr. Haji Alias Razak. Seramai 60 orang dengan tiga buah bot besar meredah lautan untuk menyertai aktiviti mengembirakan ini. Klik video ini untuk maklumat sepintas lalu.

Saya bersedia untuk menyambut ketibaan anda bagi menyertai akspedisi seperti ini. Sekarang anda boleh membuat persiapan untuk aktiviti berkenaan.

Anda boleh bertanyakan kawan-kawan anda dalam kadar jumlah tidak kurang lapan orang satu kumpulan agar boleh membiayai kos akspedisi secara beramai-ramai.